PERINGATAN SEMPENA MAULIDUR RASUL

Jika anda belum solat, silalah solat.

Jika anda solat tapi sekadar solat Jumaat atau tinggal-tinggalkan begitu, maka sila penuhkan lima waktu solat itu.

Jika anda solat, tetapi seringkali di akhir waktu, maka disegerakanlah.

Dan jika anda memang seorang yang taat dengan solat lima waktu, tetapi sekadar solat di rumah, maka lebih elok diperkemaskan solat dan sering berjemaah di masjid-masjid.

Monday, February 2, 2009

UNTUK PERHATIAN MPP 08/09

TEKS UCAPAN DASAR
Saudara Mohd Hafiz Bin Asmadi
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2007/2008
26 January 2008; Dewan Sultan Mizan

Setinggi – tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, dengan inayah, redha dan makbulNya jua, dapat kita semua berkumpul di atas semangat silaturrahim dan integrasi bersepadu pada malam yang mulia ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Bingkisan doa kepada para perjuang penegakan hak kebajikan mahasiswa yang lalu yang telah meninggalkan kita; namun semangat juang mereka akan kekal di dalam ingatan dan lipatan sejarah MPP sampai bila-bila, insya'Allah.

Gagasan Besar MPP: pembangunan mahasiswa, pemangkin kegemilangan sejagat.

Malam ini, kita bertemu di dalam dewan yang penuh bersejarah iaitu Dewan Sultan Mizan, dalam usaha meneruskan rintis perjuangan yang bermula pada tahun-tahun yang lalu. Denai perjuangan MPP dimulakan dengan kesedaran dan semangat membara, untuk melihat kalangan mahasiswa mendapat hak dan peluang sepatutnya yang lebih baik. Sudah barang tentu, pernah umpah air mata, pernah berlalu rasa kecewa, pernah hadir rasa gembira, pernah tampil rasa kekeluargaan yang unggul di sepanjang perjalanan itu. Namun, dalam harapan yang menggunung untuk melihat MPP mampu mengisi tekad perjuangan menegakkan kebajikan mahasiswa– kita perlu bersama dalam menempuh hambatan dan cabaran baru. Ibarat cangkat sama didaki, lurah sama dituruni; kuah sama dihirup, sambal sama dicolek; terapung sama hanyut, terendam sama basah; seliang bagai tebu, serumpun bagai serai'.

MPP yang kita sama-sama warisi hari ini tidak bermula dengan cita yang kosong dan langkah yang sumbang. Sesiapapun tidak mampu menafikan jiwa besar kumpulan wakil pelajar untuk menyuarakan keperluan mahasiswa. Visi dan misi mereka jelas. Untung nasib mahasiswa mesti diangkat dan dibela. Asas itu akan kekal sampai bila-bila, namun langkah dan kaedah gerakan kitalah yang perlu disesuaikan dengan keadaan dan masa. Kita tidak boleh bergerak dengan modul yang lama, sekiranya realiti baru menuntut kita bergerak dalam kaedah yang berbeza. Pertemuan hari ini, pada saya, akan menjadi 'pemula langkah dan penentu arah' kepada halatuju MPP – dalam kita mendepani realiti dan cabaran baru.

Sementara kita wajar berasa bangga dengan pencapaian MPP selama ini, kita juga tidak boleh leka – dalam menentukan perjuangan MPP ini menjadi kekal relevan dan penting, sesuai dengan tuntutan masa dan keadaan. Kita bukannya mahu menjadi anak muda yang melupakan sejarah.Sesuai dengan kembara perjuangan MPP – kita perlu sentiasa sedar bahawa asas kekuatan MPP ini bukan sembarangan. MPP bernafas segar dalam cita sokongan mahasiswa; dan nafas itu akan terus kita hela sampai bila-bila. Berundur dan menjadi pesimis tentang masa depan mahasiswa bukanlah pilihan kepada kita.

Penting untuk seisi mahasiswa mempunyai Gerak Rasa Sejarah (ataupun sense of history). Hanya dengan rasa penghargaan kepada pencapaian perintis perjuangan yang lampau; kita boleh mara ke hadapan dengan langkah yang yakin dan pasti.

Saya kira, perkumpulan pada hari ini adalah suatu pertemuan yang membawa makna yang besar. Sebagai yang dipertua MPP, saya harus menggunakan ruang dan peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan – kepada setiap individu yang bergelar mahasiswa, kepada rakan-rakan dalam MPP dan Pengerusi-Pengerusi Kelab di UMT, yang telah banyak membantu dalam meneruskan agenda besar MPP sepanjang tahun yang lalu. Dengan sokongan Saudara/Saudari sekalianlah – memberi kekuatan dan memperteguh harapan kepada saya untuk mengisi tanggungjawab besar ini. Apalah maknanya, jika cabaran besar yang bakal kita hadapi nanti – menjadi agenda perseorangan dan bukan sebuah gerakan yang bersifat massa dan ramai.

Sidang hadirin yang Dihormati,
Saya tidak menerima tanggungjawab untuk menerajui MPP dalam dulang emas yang bertatahkan permata. Tidak dapat tidak, kita perlu membuka lembaran baru dalam perjuangan menegakkan hak mahasiswa. Kita perlu membina semula kekuatan MPP dalam erti kata yang sebenarnya. Kita perlu bangkit dari igauan perpecahan yang menyesakkan.

Fasa Pemulihan MPP

Adalah menjadi hasrat, niat dan tekad KAMI agar MPP dapat melalui Fasa Pemulihan yang lebih tersusun dan meyakinkan. Fasa pemulihan ini akan terbahagi kepada TIGA elemen teras, iaitu: pembaikan imej, pemantapan perhubungan dan pelaksanaan program. Hanya dengan langkah pemulihan dan komitmen jitu mahasiswa-mahasiswa UMT, kita bakal mampu memberikan MPP dengan warna keazaman, wajah keyakinan dan citra perjuangan yang selari dengan zaman.

Dari sudut pembaikan imej – kita tidak bertangguh dalam menyediakan perancangan yang lebih baik dan tersusun. Kita perlu memperbaiki tanggapan bahawa organisasi MPP sudah menjadi 'layu' dan 'tidak bermaya' seperti bangunan kabin yang sedia ada. Demikian juga dari sudut imej setiap perwakilan MPP. Kita juga telah berusaha supaya setiap wakil MPP lebih 'friendly' dan boleh didekati oleh semua. Mungkin ada yang mengatakan ini adalah perubahan 'kosmetik' – bukannya sesuatu yang bersifat 'isi'. Kepada mereka, suka saya berpesan, jangan bermain dengan api – kerana kebangkitan MPP kali ini, adalah kebangkitan yang nyata dan jelas untuk kepentingan mahasiswa.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, KAMI juga memberikan penekanan kepada langkah pemantapan perhubungan. MPP tidak boleh berbangga dengan angka 13 perwakilan dan juga sekreteriat yang telah sedia ada– tanpa kita mempunyai keyakinan berkenaan 'kualiti' dan substance kepada angka tersebut. Kita laksanakan strategi penggabungan – dengan usaha bersama-sama semua kelab-kelab di UMT. Saya perlu diberikan keyakinan tentang 'kekuatan sebenar' MPP. Kita perlu memahami segenap aspek berkenaan dengan aspirasi dan cita sebenar mahasiswa. Kita sudahpun berada dalam peringkat perlaksanaan dengan anjuran bersama dalam pelbagai aktiviti. Penwujudkan sistem kabinet pelajar UMT yang dianggotai oleh presiden-presiden adalah faktor keberkesanan sebagai pengiktirafan dalam pemantapan perhubungan.

MPP juga sudah memulakan langkah dan gerak untuk melaksanakan program-program yang lebih menjurus kepada kumpulan sasar dan berteraskan kepada 6 kemahiran utama. Program MPP perlu bersifat 'touch-based' dengan matlamat kita yang asal. Kita perlu menghentikan segala macam program yang bersifat retorik dan tidak memberi manfaat langsung kepada pembangunan minda mahasiswa. Kita sedang merancang pelbagai program untuk turun ke peringkat akar umbi. 6 kemahiran utama yang disandarkan adalah Kemahiran akademik, Kemahiran kepimpinan, Kemahiran kerohanian, Kemahiran integriti, Kemahiran keusahawanan dan juga kemahiran komunikasi.

Pembaikan imej, pemantapan perhubungan dan pelaksanaan program akan memberikan 'citra baru' kepada MPP. Dalam masa yang singkat, dengan komitmen yang jitu dari setiap ahli majlis perwakilan pelajar dan sekreteriat, dengan kesungguhan dari setiap Presiden Kelab, dan dengan kerjasama penuh dari seluruh warga mahasiswa – kita akan pantas menjadi 'visible' di kalangan warga UMT khasnya dan masyarakat sekeliling amnya. Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau; sekali membuka pura, dua tiga hutang langsai; berkayuh, biar kita sampai ke hilir'.

Selepas daripada 'fasa pemulihan' ini, dengan komitmen dan kesungguhan daripada rakan-rakan – kita akan memulakan rentak untuk fasa pemerkasaan dan melonjakan nama Universiti tercinta ini ke satu tahap yang lebih disegani. Natijahnya nanti, UMT akan dikenali sebagai sebuah universiti yang 'indispensable' kepada masyarakat sekeliling. Saya mengimpikan nama UMT akan meniti di bibir masyarakat; MPP bersama mahasiswa UMT akan bersungguh untuk merealisasikan perkara ini.

Kita sedar, kabinet pelajar UMT tidak akan berhadapan dengan keadaan yang semakin mudah. Kita akan punya kekangan. Kita perlu meletakkan organisasi ini sebagai 'stakeholders' kepada kembara yang panjang. Kualiti kepimpinan dan kecemerlangan akademik serta akhlak yang terpelihara perlu ditanam dari sekarang untuk generasi masa akan datang. Kita punya tugas dan tanggungjawab yang amat besar dan mencabar. Siapa lagi yang mampu saya sandarkan harapan; yang mampu saya kongsikan pandangan – kalau bukan Saudara/Saudari yang hadir pada hari.

Saudara Saudari Yang Dihormati,
Sesuai dengan suasana persaingan kompetitif abad ke-21. Setiap individu sedang mencari asas 'kekuatan sebenar' untuk kita bersaing dalam persekitaran dan realiti baru. Jadi jika keperluan itu tidak dapat dipenuhi maka kegilaan yang akan dipraktikkan. Oleh itu, keperluan hak asasi individu yang bergelar mahasiswa adalah menjadi asas dalam perjuangan MPP –kebajikan rakan-rakanku tidak akan dipandang enteng dan kami akan mempertahankannya.

Cabaran untuk memenuhi keperluan adalah sangat rumit dan perlu dilihat dalam pelbagai aspek. Dalam arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini apa-apa sahaja adalah sangat kritikal dan penting. Kita jangan sesekali menaruh niat dan hasrat untuk membenarkan emosi menguasai pemikiran kita. Selayaknya mahasiswa perlu lebih rasional dan berfikiran terbuka serta mempunyi jati diri yang kuat dalam menyelesaikan segala permasalah. Gunalah konsep diplomasi dan bukannya demonstrasi. Pemikiran kita perlu diasuh dengan nilai keinsanan yang bersifat glokal, berani dan kompetitif; bijaksana tetapi tidak kurang ajar; patriotik dan menyayangi Negara, kalangan yang 'sedar di mana bumi dipijak, di situ langit mesti dijunjung'.bagi mengakhiri ucapan ini, saya selitkan satu peringatan kepada kita semua.

sewaktu kau lahir, kau menangis & orang disekelilingmu senyum,
jalanilah hidupmu sehingga pada sewaktu kau meninggal,
kau tersnyum dan org dseklilingmu menangis...

0 Comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

blogger templates | Make Money Online